ANNIVERSARY

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

ARIF AZAMUDDIN

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers

ARIF SYAHMI

Lilypie - Personal pictureLilypie Kids Birthday tickers

sara

a href="http://lilypie.com/">Lilypie - Personal pictureLilypie Fourth Birthday tickers

Tuesday, September 15, 2009

TANGGUNGJAWAB MENDIDIK ANAK-ANAK


Hari ini akan lihat pula tentang kepentingan mengenai pembangunan anak-anak dan bagaimana dapat kita membentuk anak-anak kita agar mampu menjadi seorang Muslim yang berprinsip, berkeyakinan serta mampu memberi sumbangan pada masa akan datang.

Saudaraku,
Sebelum kita meneruskan perbincangan mengenai pembangunan anak-anak, Kita perlu sedar akan tanggungjawab kita terhadap mereka.

Kita perlu sedar bahawa, anak-anak adalah kurnia dan rahmat dari Allah SWT. kehadiran mereka adalah amanah dari Allah yang dipertanggungjawabkan keatas kedua orang tua. Ia merupakan pelaburan yang boleh membawa keuntungan yang besar jika amanah tersebut dipelihara dengan baik.

Dari itu, kedua orang tua berkewajipan mendidik dan mengasuh anak-anak agar menjadi orang yang soleh dan berakhlak mulia.

Allah SWT sendiri telah mengamanahkan setiap ketua keluarga untuk memastikan agar setiap anggota keluarganya tidak menjadi isi neraka.

Sekiranya amanah ini dapat dijayakan, maka kesemua anggota keluarga akan mengecap kebahagiaan di dunia ini dan akhirat kelak. Allah SWT berfirman :
Yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penajaganya adalah malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan sentiasa mengerjakan apa yang diperintahkan”. [Surah At-tahrim Ayat 6]

Di dalam ayat ini, Allah swt menegaskan dengan jelas antara peranan dan tanggungjawab keluarga ialah memelihara diri dan anggotanya dari ancaman api neraka.

Dalam mentafsirkan ayat ini Rasulullah s.a.w bersabda :
“Suruhlah anak-anakmu melakukan apa yang diperintahkan Allah dan tinggalkan apa yang dilarang-Nya, kerana demikian itu adalah benteng bagi mereka dari api neraka.” (Ibn Jarir)

Saudaraku,
Memelihara anggota keluarga dari ancaman neraka tidak bererti kita hanya bersikap pasif dengan hanya mencegah mereka daripada berbagai perbuatan maksiat.

Tetapi kita juga mesti bersikap aktif dalam mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni dalam diri mereka agar pembentukan ini berperanan sebagai kubu dan daya tahan yang dapat menepis dan menapis pengaruh sekitaran yang penuh mencabar.

Peranan orang tua bukan sahaja menjadi “Tuan” dirumah, tetapi mereka adalah pengurus, pembimbing dan pengasuh.

Tanggungjawab ibu-bapa bukan hanya memberi arahan, tetapi perlu menonton, membimbing, mengasuh dan menunjukkan contoh yang baik untuk diteladani.Barulah pendidikan kita akan memberikan kesan untuk mencapai matlamat pembentukan nilai murni serta prinsip yang kukuh dalam diri anak-anak.

Saudaraku,
Sebagai ibu-bapa kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Ada sebahagian dari kita beranggapan yang kita telah menunaikan kewajipan dan hak anak-anak kita apabila anak-anak telah dihantar ke sekolah.

Ingatlah tanggungjawab kita bukan hanya memastikan agar mereka akan hidup selesa pada masa akan datang. Tanggungjawab kita juga memastikan agar mereka mempunyai prinsip yang teguh.

Dari itu amat penting pendidikan agama serta menyemai akhlak mulia. Kerana dengan pendidkan agama, prinsip iman mereka akan teguh. Ini akan membantu mereka menghadapi masalah-masalah sosial serta membantu mereka menghadapi cabaran masa akan datang.

Tanpa prinsip ini ditakuti anak-anak kita akan mudah terpengaruh dengan pelbagai pemikiran. Sehinggakan ada sebahagian dari mereka sanggup mengadai prinsip kehidupan mereka.

Seperti sekarang ini, sudah ada di antara anak-anak kita yang sanggup memilih untuk berkahwin secara sivil dan kemudiannya membentuk keluarga yang jauh dari nilai-nilai Islam. Di samping ada juga yang mudah bertukar agama dan memilih untuk menganut agama lain.

Dalam keadaan beginilah kita dapati wajah kekesalan daripada kedua ibu bapa. Malangnya kadang kala keadaannya telah terlambat kerana anak tersebut telah pun dewasa dan merasai diri telah mengetahui segalanya, bahkan ada yang beranggapan mereka lebih mengetahui daripada orang tuanya.

Oleh itu, saudara-saudara sekalian,
Pendidikan anak-anak hendaklah dimulakan sejak awal lagi. Masa di mana mereka dalam keadaan dekat dengan fitrah. Dan segala nilai yang ditanamkan akan tersemat dalam hati sanubari mereka. Penerapan yang tidak mudah untuk mereka gadai.

Ibnu Sina pernah berpesan, katanya: “ketika anak telah mendapat asuhan ibunya, maka ajarkanlah ia adab-adab Islam sebelum ia diserang oleh nilai-nilai yang buruk “.
Rasulullah saw pula bersabda:

“Didiklah anak-anakmu dan perelokkanlah akhlak mereka.” (Ibnu Majah)

Ibnu Khaldun telah membahagikan tujuan pendidikan kepada tiga bentuk pendidikan:
Pertama: Mempersiapkan seorang anak dari segi keagamaan, iaitu mengajarnya syiar-syiar agama menurut Al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Ini akan membina akidahnya dan membentuk keperibadian keimanannya.

Kedua: Mempersiapkannya dari segi akhlak, dan

Ketiga: Mempersiapkannya dari segi pemikiran, - ini termasuk ilmu-ilmu umum duniawi - kerana dengan memiliki pemikiran dan ilmu yang baik dan tepat seseorang itu akan mampu berdikari dan memiliki ketrampilan untuk melaksanakan tugas dengan baik.

Saudaraku,

Kita mesti peka dengan pendidikan anak-anak ini.

Pendidik yang paling utama yang perlu diberikan ialah asas-asas agama. Janganlah kita hanya mementingkan matlamat kebendaan dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak. Kerana matlamat akhir kita mendidik anak-anak kita ialah untuk menjadikannya manusia yang kuat prinsipnya serta mampu menghadapi apa jua cabaran kehidupan. Dalam masa yang sama menjadi seorang yang membawa kesejahteraan pada semua.

Marilah kita mengambil contoh pendidikan Lukmanul-Hakim terhadap anaknya dalam nasihatnya yang berikut melalui firman Allah:

Yang bermaksud: “Wahai anakku! Dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah). Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri”. [Surah Luqman Ayat 17-18]Sumber :
Khutbah Jumaat




Untuk putera dan puteriku, Arif Azamuddin , Arif Syahmi dan Aini Qaisara , semoga kalian menjadi anak yang soleh , solehah di kemudian hari , insyaallah ..

2 comments: